SEGELINTIR individu gemar mencabar diri dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung berapi yang aktif.
Malah, segelintir rakyat Malaysia juga sanggup terbang ke Indonesia untuk mencuba aktiviti tersebut.
Namun di sebalik keseronokan itu, tersembunyi pelbagai risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
Sebelum mendaki gunung berapi, ini merupakan empat perkara yang perlu anda tahu:
1. Fahami risiko
Gunung berapi yang tidak aktif tetap mempunyai risikonya yang tersendiri.
“Walaupun keadaan di gunung berapi kelihatan tenang, masih ada kemungkinan berlakunya tanah runtuh, aliran lumpur, pendedahan kepada gas toksik, dan air yang sangat panas.
“Apabila gunung berapi meletus, anda terdedah kepada aliran lava, abu, aliran piroklastik (longsoran abu panas), letupan, dan banyak lagi,” kata Dr. Erik Klemetti Gonzalez, pakar gunung berapi dari Denison University.
Banyak risiko lain menanti pendaki walaupun gunung berapi itu sudah tidak aktif. -Gambar hiasan
2. Rujuk pihak berkaitan
Salah satu sumber rujukan penting ialah Global Volcanism Network yang menyediakan senarai lengkap gunung berapi aktif di seluruh dunia.
“Negara yang mempunyai gunung berapi aktif biasanya mempunyai agensi khas yang memantau dan menyampaikan maklumat berkaitan gunung berapi kepada orang awam,” kata Tracy Gregg, pakar dalam bidang gunung berapi planet dari University of Buffalo.
3. Guna khidmat pemandu pelancong
Einat Lev, profesor penyelidikan dalam bidang Seismologi, Geologi dan Tektonofizik di Columbia University, menyarankan pendaki untuk mendapatkan khidmat pemandu pelancong bertauliah.
“Pemandu pelancong biasanya amat memahami keadaan gunung berapi dan peka terhadap sebarang perubahan tingkah lakunya,” kata Lev.
Lawatan tanpa pemandu pelancong memang dibenarkan di sesetengah tempat, namun jika mahu pergi sendiri, pastikan anda memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Keindahan panorama di puncak gunung Rinjani -Gambar hiasan
4. Jangan 'gila' bergambar
Apabila berada di gunung berapi, anda pastinya teruja untuk merakam panorama luar biasa.
Ketika bergambar, janganlah anda sesuka hati keluar dari laluan yang ditetapkan atau menghampiri tebing kawah dan jurang.
Apabila mendaki gunung berapi aktif, sangat penting untuk kekal di laluan yang telah ditetapkan.
Menyimpang dari laluan boleh membawa risiko yang besar.
Kes di Gunung Rinjani
Seorang pendaki Brazil maut selepas terjatuh ke dalam gaung di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia pada Selasa.
Mangsa, Juliana Marins, 26, dilaporkan hilang sejak Sabtu ketika dia mendaki gunung popular itu.
Kematian mangsa disahkan oleh Kementerian Luar Brazil.