SOLEKAN atau mekap sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai wanita sejak zaman berzaman.
Namun di sebalik warna-warni kosmetik itu, ramai kurang sedar tentang risiko tersembunyi yang datang bersama penggunaannya.
Tahukah anda produk yang disapu berulang kali pada wajah itu sebenarnya boleh menjadi 'syurga' bakteria?
Kajian
Kajian menunjukkan lipstik boleh menempatkan sehingga 20,000 CFU (colony-forming units) bakteria seminggu jika digunakan tanpa penjagaan yang betul.
Satu kajian di United Kingdom (UK) terhadap pelbagai produk solekan termasuk lipstik, eye-liners, dan masker, mendapati 79–90 peratus produk tercemar bakteria dengan Staphylococcus aureus, Escherichia coli, dan Citrobacter.
Kajian lanjutan terhadap lipstik milik jurusolek mendapati beban bakteria sebanyak 9,000 hingga 30,000 CFU/mL dalam sampel yang digunakan berulang kali.
Ini bermakna dalam seminggu penggunaan biasa, jumlah ini boleh melebihi 20,000 CFU.
Segelintir wanita sanggup berbelanja ribuan ringgit demi membeli alat solek. -Gambar hiasan AI
Beberapa bakteria yang ditemui adalah patogenik seperti:
1. S. aureus: Boleh menyebabkan jerawat, bisul dan jangkitan kulit.
2. E. coli dan Citrobacter: Risiko pada sistem pencernaan dan imun tubuh.
Bagaimana bakteria terkumpul?
Setiap kali kita memakai lipstik, bakteria dari bibir, jari atau udara dibawa masuk.
Ia kemudiannya akan berkembang kerana lipstik mengandungi bahan seperti minyak dan air yang jadi 'makanan' mikroorganisma.
Tip elak risiko bakteria
1. Sentiasa semak tarikh luput pada bungkusan produk.
2. Lap kotoran selepas guna dan simpan di tempat sejuk untuk kurangkan bakteria.
3. Gunakan spatula kecil atau cotton bud untuk mencalit lipstik pada bibir.
4. Jangan kongsi produk bibir dengan orang lain.
5. Perhatikan iritasi kulit. Jika bibir gatal, kering atau luka, buang dan gantikan lipstik itu.