suria

Sambut hari jadi ke-80 cara ‘rare’... Warga emas lakukan terjun udara dari ketinggian 10,000 kaki

Dr Shraddha Chauhan melakukan terjun udara dari ketinggian 10,000 kaki sempena hari lahirnya yang ke-80.

SEORANG wanita warga emas berusia 80 tahun mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melakukan terjun udara secara tandem, sekali gus membuktikan usia bukan halangan untuk melakukan aktiviti ekstrim. 

Dr Shraddha Chauhan melakukan lompatan berani itu dari ketinggian 10,000 kaki sempena hari lahirnya yang ke-80.

Lebih mengagumkan, Dr Chauhan menghadapi beberapa masalah kesihatan termasuk vertigo, spondilitis serviks dan masalah tulang belakang, namun tetap nekad mengambil risiko demi merealisasikan impiannya.

Aksi berani itu dilakukan di Skyhigh India, sebuah lokasi terjun udara yang terletak di Narnaul Airstrip, Haryana, kira-kira dua jam perjalanan dari ibu kota New Delhi.

Dalam sebuah video yang dimuat naik oleh akaun rasmi Skyhigh India di Instagram, Dr Chauhan kelihatan tenang dan bersemangat ketika bersiap sedia untuk terjun dengan sokongan penuh daripada anak lelakinya.

"Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk terbang di langit seperti kapal terbang. Hari ini, anak saya telah menunaikan impian itu. Ia merupakan detik yang sangat membanggakan," katanya selepas mendarat dengan selamat. -Agensi

Artikel Lain

OSZAR »