SEORANG remaja perempuan maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) dan terjatuh ke laluan bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 189.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, mangsa dikenalpasti sebagai Iris Sofea Mohamed Siddiq Khan, 13, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 7.54 pagi.
Siasatan awal mendapati mangsa bersama keluarganya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk melawat ahli keluarga apabila tayar hadapan kenderaan di sebelah kanan meletup.
"Pemandu berusia 36 tahun hilang kawalan sebelum kenderaan melanggar penghadang jalan.
"Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak keluar dan terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta lain,” katanya.
Mohamad Rusli berkata ketika kejadian terdapat sembilan penumpang dalam MPV tersebut, berusia antara empat hingga 63 tahun.
“Adik mangsa berusia 10 tahun mengalami kecederaan parah, manakala penumpang lain hanya cedera ringan. Kedua-dua pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem memaklumkan semua mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka dan Hospital Jasin.
“Tragedi ini mengorbankan anak perempuan pemandu berusia 13 tahun, manakala adiknya yang berusia 10 tahun sedang dirawat di zon merah Hospital Melaka,” katanya.