suria

Belum tayang, Misteri Fraser 1910 dah menang anugerah antarabangsa

Amai (kiri) dan Elani bangga dengan kerjayaan pertama filem Misteri Fraser 1910

BELUM ditayangkan di Malaysia, filem Misteri Fraser 1910 sudah pun dinobat sebagai Best First Time Filmmaker menerusi Lift Off Global Network Sessions Vol 4 yang diadakan di Pinewood Studio, United Kingdom (UK) pada Mei lalu.

Menurut penerbit dan penulis skrip, Elani Aidid, dia meluahkan rasa syukur apabila filem pertama terbitan syarikatnya itu berjaya mengatasi saingan 26 karya dari negara lain.

Elani berkata, kejayaan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana filem Misteri Fraser 1910 perlu menambat hati penonton.

Elani dan Amai merupakan penerbit bersama filem Misteri Fraser 1910.

“Bagi yang bertanya bagaimana kami boleh menang di sana, Lift Off Global Network Sessions ini merupakan satu festival di mana kami perlu menghantar penyertaan secara dalam talian. 

“Selepas itu, setiap setiap negara akan membeli tiket, kalau ada 26 negara maka ada 26 tiket. Kemudian jualan tiket akan dibuka kepada khalayak dan mereka diberi peluang untuk menonton semua filem yang mendaftar dalam festival itu. 

“Selepas menonton, mereka akan undi filem yang paling disukai dan kami terkejut apabila Misteri Fraser 1910 ini meraih undian tertinggi,” katanya

Dalam masa yang sama, Elani berkata pihaknya juga meghantar beberapa penyertaan lain di festival filem luar negara dan memberi fokus kepada kategori karya pertama kali dihasilkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan peneroka Bukit Fraser dijadikan filem, penerbit dapat ilham selepas baca kisahnya

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit Misteri Fraser 1910 sengaja tak jemput pengarah, mahu elak kekecohan

Jelasnya, Misteri Fraser 1910 ini merupakan karya pertamanya selain pengarahnya iaitu Shuhaimi Zulkefli juga pertama kali mengarahkan filem.

“Kami juga ada menghantar beberapa penyertaan lagi di festival filem luar negara, paling terdekat adalah festival filem di Rusia pada September ini. 

“Ada banyak kategori yang kami masuk seperti First Time Filmmaker, jadi kami boleh sertainya kerana ini kali pertama kami menghasilkan filem,” katanya.

Misteri Fraser 1910 mengisahkan Mr Fraser lakonan Josiah Hogan yang membuka Bukit Fraser pada 1890 serta mendapat kekayaan hasil dari perlombongan bijih timah di situ.

Antara babak di dalam filem Misteri Fraser 1910.

Dia juga membangunkan kawasan tersebut menjadi pusat bandar dan pertemuan sosial warga elit terutama tentera British.

Namun pada satu hari di tahun 1910, Mr Fraser hilang secara misteri dan meninggalkan seribu teka-teki kerana banglo serta perniagaannya ditinggalkan begitu sahaja.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 26 Jun ini turut menampilkan pelakon lain seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Erry Putra, Isyariana dan A Galak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

OSZAR »