suria

Ikut ‘law’ 4U2C perlu minta izin Man Senoi, Exists cadang ‘duduk semeja’ dan berbincang

Ajai (tengah) memberikan komen berhubung isu hak cipta komposer lagu 4U2C.

KOMPOSER Ajai berpendapat kenyataan penerbit Man Senoi dan isterinya, Mama Rap berhubung isu hak cipta lagu kumpulan 4U2C logik dan mempunyai asas kukuh.

Menurut Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 50, mengikut undang-undang Man Senoi mempunyai hak terhadap lagu-lagu tersebut kerana berada di bawah syarikat milik mereka, Zman Production.

Bagaimanapun, Ajai percaya perkara itu boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu diperbesar-besarkan.

“Man Senoi dan isterinya bercakap soal bahan rakaman, jadi mereka berhak ke atas lagu-lagu 4U2C milik syarikat mereka.

Exists ketika ditemui pada sidang media konsert Exists Premium Live @ PJ.

“Saya bercakap tentang apa yang saya baca dan dengar, jika ikut undang-undang memang tak boleh sebab milik Man Senoi.

“Cuma mereka patut berbincang untuk selesaikan isu ini terlebih dahulu. Lagipun jika bunyi itu ditukar,  susunan muzik masih ada melodi asal,” katanya kepada mStar. 

Ajai berkongsi pandangannya ketika ditemui pada sidang media konsert Exists Premium Live @ PJ di IOI City Mall, Putrajaya pada petang Ahad.

Dalam pada itu, pemain gitar kumpulan Exist iaitu Along pula berpandangan 4U2C boleh bertanya soal royalti mereka selama ini terhadap Man Senoi.

ARTIKEL BERKAITAN: 4U2C buat ‘comeback’ hiburkan peminat, imbau kenangan kumpulan pertama menyanyi sambil menari di pentas

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ajai jaga hubungan baik dengan Exists, tiada isu sejak keluar kumpulan... “Selalunya pecah belah berpunca kewangan”

Malah Along berasa tiada masalah untuk 4U2C mengadakan konsert kerana kedua-duanya akan mendapat keuntungan.

“4U2C pun boleh bertanya soal royalti lagu-lagu mereka selama ini dan Man Senoi kena jawab perkara itu.

“Tapi katakan selesai konsert mereka, Man Senoi boleh minta royalti juga dan lagu-lagu dia akan naik balik. Pada saya tak salah 4U2C nak buat konsert,” ujarnya.

Sementara itu, Ajai sempat berpesan kepada pemain industri muzik tempatan untuk tidak memandang remeh isu hak milik lagu kerana ia melibatkan undang-undang yang telah ditetapkan.

Man Senoi dan isterinya bercakap soal bahan rakaman, jadi mereka berhak ke atas lagu-lagu 4U2C. 

AJAI

KOMPOSER/PENYANYI

“Saya nak pesan kepada penyanyi dan sesiapa yang berada dalam industri, anda kena faham maksud dan undang-undang muzik kita.

“Jangan main langgar sebab ini melibatkan hak cipta,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Music Malaysia, Ayob Abd Majid yang pernah terlibat secara langsung bersama beberapa anggota asal kumpulan 4U2C termasuk Datuk AC Mizal sekitar awal 2000-an menawarkan diri sebagai orang tengah bagi membantu menyelesaikan isu hak cipta lagu-lagu ciptaan Man Senoi yang kini hangat diperkatakan.

"Memandangkan Man Senoi merupakan Penasihat Konsortium Irama, saya percaya perbincangan secara harmoni dan beretika antara semua pihak masih boleh dicapai demi kepentingan industri muzik negara.

"Saya juga menyeru agar pihak penganjur konsert 4U2C dapat menghubungi saya secepat mungkin untuk membuka ruang rundingan. 

"Hasrat saya hanya satu agar konsert 4U2C dapat diteruskan seperti dirancang, tanpa menjejaskan hak mana-mana pihak, selain menghormati sumbangan besar para penggiat seni era 90-an kepada industri muzik Malaysia,"katanya. 

4U2C sebelum ini memaklumkan bakal membuat comeback menerusi penganjuran konsert.

Sebelum ini menerusi laporan media, Man Senoi atau nama sebenarnya Othman Masri, 72, dan Mama Rap atau Ramziah Mohamed Noor, 62, mendakwa mereka tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran konsert 4U2C, WE 4U2C yang akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.

Man Senoi mempersoalkan bagaimana  kumpulan itu mahu menjayakan konsert memandangkan 25 lagu 4U2C adalah hak milik Zman Production.

Pasangan ini bagaimanapun masih membuka pintu untuk perbincangan lanjut dengan penganjur yang akan disertai peguam.

Manakala, ahli kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal memberitahu mereka sudah melantik pihak bertanggungjawab dan mengikut saluran betul agar tidak timbul sebarang isu hak cipta lagu yang akan dipersembahkan nanti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

OSZAR »