JIKA anda mencari tukang untuk ubah suai atau renovasi rumah, pastikan jangan terpedaya dengan ayat manis kontraktor dan harga murah sampai tak masuk akal.
Perkongsian Muhammad Harith dalam grup Tukang Apa Hari Ni boleh menjadi 'penyelamat' kepada mereka yang sedang merancang untuk mengupah kontraktor bagi tujuan renovasi.
Menurut Harith, dia sendiri pernah menjadi mangsa penipuan tukang yang mana projek tidak siap, kerja 'cincai' dan akhirnya terpaksa bawa kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna.
Justeru untuk mengelak berlakunya perkara sama, ini tujuh langkah penting yang boleh dijadikan panduan:
1. Kontraktor disarankan bekas pelanggan
Carilah tukang yang khidmatnya memang pernah digunakan oleh orang lain, bukan sekadar dikenali atau 'kawan kepada kawan'.
Paling penting, orang yang mencadang itu sendiri pernah guna khidmat tukang tersebut.
2. Lihat sendiri hasil kerja
'Wajib' buat lawatan ke projek terdahulu yang pernah dibuat oleh tukang berkenaan.
Ada situasi di mana mereka 'claim' buat satu rumah, tapi realitinya cuma 'renovate' dapur je maka jangan percaya bulat-bulat.
3. Ada 'hitam putih'
Sediakan perjanjian bertulis lengkap termasuk maklumat peribadi tukang (nama penuh, no kad pengenalan, syarikat, alamat, nombor telefon dan emel), spesifikasi kerja, jadual kerja, pembayaran dan tindakan kalau kerja tak siap.
Semua maklumat ini penting kalau nak bawa kes ke tribunal nanti.
Kontraktor harus menyiapkan rumah sebagaimana diharapkan pelanggannya. -Gambar hiasan AI
4. Elak bayar deposit awal, terlalu tinggi atau 'lump sum'
Kalau belum mula kerja sudah minta 50 peratus bayaran, itu tanda bahaya.
Lazimnya tukang yang bagus akan bersetuju dengan sistem bayaran berperingkat selepas setiap fasa kerja disiapkan.
5. Ada pekerja tetap, disiplin
Menurut Harith, pekerja dari Indonesia biasanya lebih berdisiplin kerana hadir awal pagi dan kerja konsisten.
Berbeza dengan sikap sesetengah pekerja tempatan yang masih sarapan pukul 10.30 pagi dan balik awal.
6. Elak tukang yang terdesak, terlalu 'pushy' (mendesak)
Elak berurusan dengan tukang kalau dia terlalu mendesak untuk anda cepat buat keputusan, beri harga murah melampau, dan sanggup terima semua syarat anda tanpa soal.
Mungkin tukang perlukan duit segera untuk tampung kerugian projek lama.
7. Tegas
Kalau tukang buat kerja tidak mengikut spesifikasi yang dipersetujui, minta dia pecahkan dan buat semula.
Tapi ingat, kalau ada penambahan kerja pastikan anda sediakan bayaran tambahan.
Elakkan diri daripada termasuk perangkap tukang Ali Baba, satu istilah yang digunakan merujuk kepada kontraktor atau tukang yang menipu, bersikap tidak jujur atau memperdaya pelanggan.