suria

Suka sangat dengar muzik lama-lama guna earbud, earphone? Awas anda mungkin terdedah masalah pendengaran serius

Ramai yang menggunakan earbud ketika melakukan aktiviti harian. -Gambar hiasan AI

SELAIN untuk mendengar muzik, alat audio seperti earbud, earphone atau headphone juga menjadi sebahagian daripada aksesori fesyen anak muda khususnya dari generasi Z (gen Z).

Namun tanpa mereka sedar, tabiat ini boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan telinga jika digunakan secara berlebihan dan tidak terkawal.

Menurut pakar bidang perubatan melibatkan telinga, hidung dan tekak (ENT) dari Hospital Columbia Asia, Dr Mohd Hazmi Mohamed, penggunaan peranti audio secara berterusan mampu menyebabkan kerosakan kekal pada gegendang telinga.

Jelasnya ia boleh meningkatkan risiko kecederaan akibat bunyi yang terlalu kuat apabila earbud dimasukkan terlalu dalam hingga menghampiri gegendang.

Fenomena ini dikenali sebagai Noise-Induced Hearing Loss (NIHL) atau Kehilangan Pendengaran Akibat Bunyi.

Meskipun sesetengah pengguna merasakan penggunaan headphone lebih selamat berbanding earbud, namun Dr Hazmi menegaskan bahawa semua jenis peranti audio membawa risiko bergantung kepada cara penggunaannya.

Satu jurnal perubatan yang diterbitkan pada tahun 2002 mendedahkan hasil screening (saringan) di sebuah institusi telekomunikasi negara mendapati 20 peratus pekerja khidmat pelanggan yang menggunakan headphone secara berterusan selama lebih tujuh jam sehari mengalami gangguan pendengaran.

Penggunaan peranti pada telinga dalam tempoh lama boleh menjejaskan pendengaran. -Gambar hiasan AI

Antara tanda awal kerosakan telinga yang sering berlaku disebabkan penggunaan peranti audio termasuk:

1. Telinga berdengung 

2. Nada pertuturan jadi lebih kuat tanpa sedar

3. Jangkitan pada saluran telinga akibat kulat (kerana kelembapan terperangkap)

4. Telinga sakit, radang dan pengumpulan earwax secara berlebihan

Dalam pada itu Dr Hazmi menyarankan agar pengguna mematuhi panduan penggunaan selamat bagi mengelakkan risiko jangka panjang:

1. Tahap bunyi tidak melebihi 85 decibel (dB) secara berterusan selama lapan jam.

2. Ikut formula 60-60 iaitu guna maksimum 60 minit sehari pada 60 peratus tahap volume atau bunyi.

3. Elakkan guna sebarang jenis peranti pada tahap bunyi maksimum, kerana ia tetap berisiko tinggi.

Artikel Lain

OSZAR »