BEKERJA dalam satu pasukan memerlukan sikap saling menghormati dan kerjasama.
Namun, tidak semua orang bernasib baik untuk berada dalam persekitaran kerja yang sihat.
Ada kalanya kita mungkin dipulaukan, dijadikan bahan umpatan, atau tidak disenangi oleh kumpulan tertentu di pejabat.
Situasi ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa, malah boleh menjejaskan semangat dan kesihatan mental.
Kali ini, mStar kongsikan beberapa langkah bijak yang boleh anda ambil jika berdepan dengan situasi tersebut:
1. Jangan terus melatah
Pertama sekali, tenangkan diri dan perhatikan tingkah laku mereka secara objektif.
Adakah benar mereka cuba meminggirkan anda atau mungkin hanya salah faham?
Kadang-kadang perasaan kita boleh dipengaruhi oleh stres dan kebimbangan.
Beri ruang kepada diri untuk melihat dengan lebih jelas sebelum membuat kesimpulan.
Setiap pekerja perlu saling menghormati antara satu sama lain. -Gambar hiasan AI
2. Fokus kerja
Di sebalik situasi kurang menyenangkan, jangan sesekali biarkan tindakan mereka menjejaskan mutu kerja anda.
Teruskan menjalankan tugas dengan baik, hadir tepat waktu dan tunjukkan etika kerja yang tinggi.
Ini bukan sahaja membantu melindungi reputasi anda, malah menunjukkan anda matang dan profesional.
3. Elakkan konfrontasi
Jika anda pasti ada sesuatu yang tidak kena, cuba berkomunikasi secara berhemah.
Pilih untuk bercakap secara peribadi dengan individu terlibat, dan gunakan nada yang tenang.
Paling penting, jangan bergaduh secara lisan atau fizikal kerana anda mungkin akan dikenakan tindakan.
Berdepan situasi toksik berpanjangan boleh menjadi punca seseorang itu berhenti kerja. -Gambar hiasan AI
4. Cari sokongan positif
Setiap tempat kerja pasti ada sekurang-kurangnya seorang yang bersikap terbuka dan menyokong.
Libatkan diri dengan rakan sekerja yang positif dan elakkan bergantung pada satu kumpulan sahaja.
Jaringan sosial yang luas akan membantu anda rasa lebih selamat dan dihargai.
5. Pertimbangkan untuk berundur
Jika anda mencuba sedaya upaya namun suasana toksik masih berlarutan, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan langkah terakhir dengan berhenti kerja dan mencari peluang baharu.
Kesihatan mental dan harga diri anda jauh lebih berharga daripada terus terperangkap dalam persekitaran yang merugikan.
Ingat, anda berhak berada di tempat yang menghargai kehadiran dan sumbangan anda.