KETIKA badan terasa penat selepas mengharungi satu perjalanan jauh, pastinya kita mahu berehat dengan tenang dan enggan diganggu.
Namun, Zarina tidak mendapat ketenangan yang diinginkan apabila berdepan pengalaman seram ketika dia bermalam di Kota Bharu, Kelantan.
Sebaik tiba, Zarina yang mengikuti trip itu bersama majikannya terus mendaftar masuk di sebuah hotel yang tidak didedahkan namanya, sebelum keluar semula untuk makan malam.
Namun tanpa disangka, suami majikan muncul di lobi hotel untuk memberi kejutan buat isterinya, menyebabkan Zarina terpaksa bermalam sendirian di bilik lain.
"Saya tak fikir apa-apa pun waktu tu... Cuma memang penat sangat sebab datang jauh dari Kuala Lumpur.
"Hotel pun dekat dengan pasar dan masjid, jadi bunyi orang mengaji memang jelas sangat jadi tidaklah sunyi bila waktu malam," katanya.
Solat adalah wajib bagi setiap umat Islam. -Gambar hiasan AI
Malam itu, disebabkan terlalu letih Zarina hanya membiarkan telekung serta sejadahnya di katil tanpa berlipat selepas digunakan dan terus baring.
"Saya baring sambil main telefon lepas solat, sampai tertidur. Tapi terjaga sebab dengar suara orang mengaji dari masjid.
"Bila buka mata, saya nampak ada orang tengah solat atas sejadah saya... pakai telekung saya," cerita Zarina yang mengaku keliru dan buntu ketika itu.
Paling menyeramkan katanya apabila melihat entiti tersebut dalam kedudukan tahiyat akhir seolah-olah benar-benar sedang menunaikan solat.
"Saya tengok betul-betul bila benda tu beri salam dan palingkan muka ke arah saya.
"Saya nampak wajahnya... buruk sangat. Masa dia beri salam kedua, dia perlahan-lahan toleh ke arah saya.
"Satu mata tak ada dan saya sempat nampak wajahnya yang macam terbakar tu," ujar Zarina.
Disebabkan berasa takut yang teramat, Zarina hanya mampu menarik selimut dan menyelubungi seluruh tubuhnya.
Pakaian solat perlu disimpan dengan baik selepas selesai digunakan. -Gambar hiasan AI
Dia langsung tidak berani membuka mata walaupun mendengar bunyi sesuatu diseret di lantai dan menghampiri katilnya.
"Saya dengar macam kain telekung diseret... makin lama makin dekat. Tapi saya tak berani langsung buka mata.
"Saya baca semua surah yang saya ingat dalam selimut, sampailah terlelap semula," ujarnya lagi.
Keesokan hari, Zarina terjaga dan bangun untuk menunaikan solat Subuh.
Namun, apa yang dilihat di bilik hotelnnya membuatkan bulu roma kembali meremang.
"Telekung dan sejadah yang saya nampak 'dia' guna malam tu dah dilipat elok dan diletak semula atas katil.
"Sedangkan saya memang tak sempat pun lipat malam tadi. Jadi saya yakin apa jadi tu bukan mimpi," jelasnya.
Pengalaman itu kekal segar dalam ingatan dan menjadi pengajaran buat dirinya sehingga ke hari ini.
Setiap kali bermalam di hotel selepas kejadian tersebut, dia pasti akan pastikan ruang bilik kemas dan tidak meninggalkan pakaian ibadah berselerakan.