PEMANDU Toyota Hilux yang merempuh Perodua Axia secara sengaja dikenakan hukuman denda berjumlah RM13,000 oleh dua Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Rabu.
Muhammad Firdaus Abdullah menghadapi tuduhan melakukan khianat dengan melanggar Perodua Axia dan memandu kenderaan sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna lain di Jalan Tun Razak, Ahad lalu.
Bapa kepada tujuh anak dan tidak bekerja itu dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh berusia 50 tahun itu turut diarahkan hukuman penjara selama 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandunya diendors oleh mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan melanggar Perodua Axia berwarna hitam milik seorang lelaki yang menyebabkan kerugian berjumlah RM15,300.
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman.
Atas perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Atifah Hazimah kemudian menjatuhi hukuman denda RM7,500 atau 12 bulan penjara terhadapnya jika gagal membayar denda.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sengaja hentam Axia 3 kali sebab warga emas pandu perlahan, pemandu Hilux ditahan polis
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, tertuduh didakwa memandu sebuah Toyota Hilux di atas jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepenuhnya sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan, lesen diendors oleh mahkamah dan jika mempunyai lesen percubaan, lesen itu akan dibatalkan oleh mahkamah, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh.
Nur Fatin menjatuhi hukuman denda RM5,500 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda serta lesen memandu diendors oleh mahkamah.
Dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Susur 6, Jalan Tun Abdul Razak pada pukul 3.10 petang.
Muhammad Firdaus kemudian sambil menangis merayu hukuman ringan kerana tiada pendapatan dan mempunyai seorang isteri serta tujuh anak.
"Saya menyesal akan perbuatan saya dan tidak akan mengulangi perbuatan itu," katanya.
Mengikut fakta kes, pengadu seorang lelaki berusia 63 tahun membuat laporan polis mendakwa tertuduh melanggar Perodua Axia warna hitam miliknya sehingga menyebabkan kerugian RM15,300.
Susulan itu, polis menahan tertuduh pada pukul 6.30 petang Isnin lalu di Jalan Langkasuka.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan khianat dengan melanggar bahagian belakang Perodua Axia sebanyak satu kali dan bahagian hadapan dua kali sebelum melarikan diri.