suria

“Lima tahun itu neraka...” - Syed Saddiq tak akan lupa keperitan bersihkan nama, tapi enggan berdendam

Ibu Syed Saddiq tidak dapat menahan tangis selepas Ahli Parlimen Muar itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu.

BERSYUKUR dengan penghakiman Mahkamah Rayuan yang mengetepikan sabitan dan hukuman membabitkan empat pertuduhan yang dihadapinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan dia enggan menyimpan dendam dan mahu terus mengorak langkah ke hadapan. 

"Sejujurnya saya berharap, apa yang saya lalui tidak akan dilalui mana-mana musuh politik," ujar Ahli Parlimen Muar itu kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Rabu.

Syed Saddiq, 33, turut meluahkan rasa lega apabila penantiannya selama lima tahun untuk membersihkan nama berakhir dengan keputusan yang menggembirakan.   

"Perjalanan lima tahun yang lepas memang penuh dengan rintangan dan cabarannya kalau nak diungkap satu persatu sangat panjang.

"Lima tahun itu adalah 'neraka' kerana ada pihak cuba untuk mencalar integriti dan saya lebih mengambil berat tentang integriti saya berbanding nyawa saya sendiri.

"Ibu dan ayah disoal siasat, saya sebagai anak rasa bersalah kerana tekanan sehingga ibu pula sekali lagi disahkan menghidap penyakit kanser (relapse).

"Pelbagai tawaran saya terima ditolak untuk membersihkan nama di mahkamah kerana mahkamah benteng terakhir untuk rakyat yang disalahi dan dikhianati," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq bebas, mahkamah ketepikan sabitan dan hukuman seleweng dana Armada

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam masa yang sama menzahirkan penghargaan kepada barisan peguam yang sentiasa memberikan kepercayaan dan bertungkus lumus memastikan kebenaran berpihak kepadanya. 

"Saya ingat detik-detik awal digertak, tetapi saya tidak takut kerana tahu di pihak yang benar.

"Kemenangan hari ini mengingatkan saya mengapa saya memilih jalan untuk mengabdikan diri kepada perjuangan untuk memajukan Malaysia," ujarnya lagi.

Mahkamah Rayuan pada Rabu melepas dan membebaskan Syed Saddiq atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara membenarkan rayuan bekas Presiden Muda itu terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Turut bersidang Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Artikel Lain

OSZAR »