RAMAI pemandu suka kereta mereka berbau harum dan segar kerana ia mampu menjadikan perjalanan lebih selesa.
Namun ramai yang tidak sedar sesetengah bau sebenarnya boleh menjadi petanda awal masalah kereta.
Jika dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan komponen dalaman, malah boleh membahayakan keselamatan pemandu dan penumpang.
Berikut merupakan lima bau yang anda perlu berwaspada:
1. Telur busuk
Bau seperti telur busuk mungkin menandakan catalytic converter kereta anda sudah rosak.
Catalytic converter adalah komponen penting dalam sistem ekzos kenderaan yang berfungsi mengurangkan pelepasan gas berbahaya ke udara.
Bau ini berlaku apabila alat tersebut gagal menukar gas ekzos daripada enjin dengan betul.
Jika dibiarkan boleh menyebabkan kerosakan besar yang mahal untuk dibaiki.
2. Sirap manis
Segelintir individu suka membeli pewangi kereta yang menghasilkan bau manis.
Namun, sila berwaspada jika kereta mengeluarkan bau seperti sirap manis kerana ia mungkin petanda cecair penyejuk enjin atau coolant sedang bocor daripada sistem penyejukan.
Ia biasanya berbau seakan-akan maple syrup.
Kebocoran seperti ini sangat berbahaya dan boleh menyebabkan enjin menjadi terlalu panas atau kereta rosak di tengah jalan.
Segera bawa kereta ke bengkel jika anda terhidu bau pelik ketika memandu. -Gambar hiasan AI
3. Permaidani terbakar
Jika terhidu bau seakan permaidani terbakar, anda perlu lebih berhati-hati kerana ia biasanya menandakan masalah pada sistem brek.
Sekiranya bau ini muncul ketika sedang memandu, segera bawa kereta untuk pemeriksaan brek demi keselamatan anda.
4. Minyak terbakar
Bau seperti minyak terbakar berkemungkinan membawa maksud kereta anda mengalami kebocoran minyak enjin.
Kebocoran boleh berlaku atas pelbagai sebab dan ia memerlukan perhatian mekanik.
Jika anda syak ada kebocoran, periksa jika terdapat titisan minyak di bawah kereta atau lihat sama ada ada asap keluar dari ruang enjin setelah kereta dipanaskan.
5. Petrol
Adalah perkara biasa untuk menghidu bau petrol di stesen minyak, tetapi tidak normal jika bau itu kekal sepanjang masa.
Jika anda kerap terhidu bau petrol semasa memandu, ini mungkin petanda kebocoran pada sistem bahan api, seperti pada injektor atau tangki minyak.
Bau petrol yang berpanjangan juga boleh menjadi risiko kebakaran, jadi pastikan kereta anda diperiksa oleh mekanik dengan segera.