IRAN melancarkan gelombang peluru berpandu terbaharu ke arah Israel, susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa tapak nuklearnya.
Mengesahkan perkara tersebut, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata sistem pertahanan udara negara itu telah diaktifkan bagi memintas ancaman tersebut.
"Sebentar tadi, IDF mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel. Sistem pertahanan sedang beroperasi untuk memintas ancaman itu," menurut kenyataan IDF, sambil menambah, penduduk juga diarahkan untuk segera berlindung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Serangan terbaharu itu merupakan yang pertama dari Iran sejak pengumuman Presiden AS, Donald Trump, mengenai serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran termasuk Fordow, Natanz, dan Esfahan.
Di Tel Aviv, petugas kecemasan mengesahkan beberapa bangunan kediaman dua tingkat mengalami kerosakan teruk, manakala sebahagiannya runtuh sepenuhnya.
"Ini adalah tapak pemusnahan berskala besar," menurut kenyataan agensi perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA).
Video yang dikeluarkan menunjukkan runtuhan bangunan serta kemusnahan besar pada struktur berhampiran.
Menurut IDF, pasukan mencari dan menyelamat kini beroperasi di sekurang-kurangnya 10 lokasi di seluruh negara susulan laporan serangan peluru berpandu dari Iran. -Agensi