suria

Anjur parti, berjoget sakan ikut alunan muzik lepas nahas Air India... 4 eksekutif lapangan terbang dipecat!

Nahas pesawat Ahmedabad mengorbankan 260 orang. -Foto Reuters

EMPAT orang eksekutif firma perkhidmatan lapangan terbang Air India SATS Services (AISATS) Private Limited dikenakan tindakan tatatertib susulan penganjuran parti, beberapa hari selepas nahas pesawat pada 12 Jun lalu di Ahmedabad.

Kesemua mereka yang dipecat termasuk ketua operasi Abraham Zachariah, dua naib presiden kanan dan ketua latihan didakwa tidak menghormati dan sensitif dengan insiden yang mengorbankan 260 nyawa itu.

Menerusi satu kenyataan, AISATS menegaskan bahawa mereka turut bersolidariti dengan keluarga yang terjejas akibat kehilangan tragis AI 171 dan menyatakan kekesalan atas insiden yang berlaku.

"Di AISATS, kami berdiri dalam solidariti dengan keluarga yang terjejas akibat kehilangan tragis AI 171 dan amat kesal dengan kelemahan yang ditunjukkan menerusi rakaman video dalaman baru-baru ini. 

"Tingkah laku itu tidak sejajar dengan nilai kami, dan tindakan disiplin yang tegas telah diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Kami menegaskan semula komitmen kami berkaitan empati, profesionalisme dan akauntabiliti," kata jurucakapnya.

Tindakan tegas itu dikuatkuasakan pada Jumaat.

Kenyataan berkenaan bagaimanapun tidak menyebut bila parti tersebut berlangsung.

Tindakan tegas itu bermula selepas video yang disiarkan di X pada 20 Jun, memaparkan kakitangan AISTS menari mengikut alunan muzik di pejabat. 

Banyak pihak mengkritik parti yang dihoskan hanya beberapa hari selepas penerbangan Air India 171 menuju London terhempas di luar lapangan terbang Ahmedabad.

Kesemua yang terlibat dalam acara itu disifatkan sebagai tidak menghormati keluarga mangsa yang masih meratapi kehilangan mereka. -Agensi

Artikel Lain

OSZAR »