suria

Selepas buang rahim Emma Akma carikan jodoh buat suami, tak kisah hidup bermadu

Emma pernah cuba menjodohkan suaminya dengan wanita lain namun gagal.

PELAKON Emma Akma pernah meminta suaminya, Mohd Anas Abd Razak, berkahwin lain kerana dia tidak lagi mampu memberikan zuriat selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut serta mengeluarkan rahim dan ovari akibat ‘cyst’. 

Bagaimanapun, Emma atau nama sebenarnya Noorakma Yunus, 56, berkata cadangan itu ditolak suami kerana rasa cinta yang mendalam terhadapnya. 

Malah, cubaan Emma menjodohkan Anas dengan wanita lain juga tidak pernah berhasil.

 

Emma pernah cuba cari jodoh baharu buat suaminya.

“Selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut, rahim dan ovari dikeluarkan kerana ada 'cyst', saya sudah tak boleh mengandung.

“Beza umur kami hampir 15 tahun, jadi saya pernah suruh dia (Anas) bernikah lain sebab saya tak boleh berikan zuriat, saya suruh cari tapi dia tak mahu.

“Sampai saya pernah cuba jodohkan dia dengan kawan kepada kawan saya, namun semuanya gagal sebab suami saya tak menunjukkan minat,” katanya kepada mStar.

Emma berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi latihan teater Aspirasi P. Ramlee di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada malam Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Suami Mahu Rujuk, Emma Akma Serik

ARTIKEL BERKAITAN: Emma Akma Hidap Busung Akibat Perbuatan Sihir

Pun begitu, Emma reda jika suatu hari nanti suaminya terbuka hati untuk berkahwin lain dan tidak akan sesekali menghalang.

Malah, dia sendiri sanggup meminang wanita tersebut jika diperlukan.

“Andai kata suatu hari nanti jodoh dia berkahwin lain itu tiba, saya reda.

“Kita tak tahu apa boleh jadi pada masa hadapan, jika jodoh dia sampai, kahwin sajalah dan saya sendiri sanggup pinangkan wanita itu untuk suami saya,” jelasnya.

Andai kata suatu hari nanti jodoh dia berkahwin lain itu tiba, saya reda.

EMMA AKMA

PELAKON

Untuk rekod, Emma dan Anas berkahwin pada 31 Mei 2019. Perkahwinan ini merupakan yang keenam buat Emma.

Sebelum ini, media melaporkan Emma disahkan menghidap kanser perut serta ketumbuhan cyst sebesar saiz bola sepak yang boleh mencabut nyawanya jika tidak dibedah segera. 

Sejak berita mengenai kesakitan yang dialami mendapat perhatian, Emma berjaya menjalani pembedahan hasil sumbangan daripada orang ramai yang menghulurkan bantuan.

Emma ketika berlatih bagi pementasan teater Aspirasi P. Ramlee.

Aktres itu menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara (IKN) pada Ogos 2021.

Dalam perkembangan lain, Emma bakal membuat persembahan menerusi pementasan teater Aspirasi P. Ramlee di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Julai ini.

Teater arahan Yusry Kamaruzaman itu turut menampilkan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan dan Roslan Madun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

OSZAR »