PENCETUS Ummah (PU) Riz meluahkan rasa syukur selepas kes saman yang difailkan terhadap sebuah syarikat berhubung penjualan kereta Toyota Vellfire miliknya berjaya diselesaikan.
Kes berkenaan diselesaikan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis lalu selepas salah seorang kakitangan syarikat terbabit didakwa melarikan hasil jualan kenderaan berkenaan.
Riz atau nama sebenarnya Harris Ismail, 30, berkata, kejadian tersebut berlaku pada 2016 apabila dia menjual kereta tersebut pada harga RM180,000 kepada sebuah syarikat jual beli kereta namun baki hasil jualan sebanyak RM80,000 dilarikan oleh individu tidak bertanggungjawab.
PU Riz syukur syarikat jual beli kereta setuju membuat pembayaran penyelesaian.
"Pihak syarikat bersetuju membeli kereta saya dengan nilai harga pasaran sebanyak RM180,000. Selepas tolak baki bayaran bank sebanyak RM100,000, pihak syarikat sepatutnya menyerahkan RM80,000 kepada saya.
"Malangnya duit itu dilarikan oleh pekerja syarikat itu walaupun resit pembayaran baki kereta itu sudah diberikan.
"Jadi saya nekad memfailkan kes ini di mahkamah dan Alhamdulillah kes ini berjaya diselesaikan secara baik," katanya kepada mStar.
Riz berkata, selepas melalui proses perbincangan, syarikat itu bersetuju dengan cadangan untuk membuat pembayaran penyelesaian sebanyak RM60,000.
Malangnya duit itu dilarikan oleh pekerja syarikat itu
PU RIZ
PENDAKWAH BEBAS
"Pihak syarikat selaku defendan bersetuju untuk membuat pembayaran penyelesaian sebanyak RM60,000 dalam tempoh tiga bulan.
"Mahkamah kemudian mendengar dan bersetuju untuk pihak defendan bayar semula duit yang dilarikan wakil syarikat itu,"katanya.
Dalam pada itu, Riz mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam proses jual beli supaya tidak mudah ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya harap apa yang berlaku kepada saya ini menjadi pengajaran kepada semua.
Syarikat jual beli kereta perlu membayar RM60,000 kepada PU Riz.
"Pastikan anda berurusan dengan pihak yang betul dan menyemak segala dokumen yang diberikan sebelum tanda tangan.
"Sekarang ini kes penipuan semakin berleluasa, jadi kita perlu lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan pihak tidak dikenali.
"Pastikan periksa dulu latar belakang individu atau syarikat yang anda ingin berurusan," katanya.
Riz diwakili peguam Wan Amir Akram Zainal Abdin dan Elly Jasmin Aminuddin dari firma guaman, Tetuan Amir & Elly Associates.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube