KEMUNCULAN penyanyi Naim Daniel membuat persembahan di XO Concerts 3.0 School of Galau pada malam Ahad mengundang perasaan sebak dalam kalangan rakan artis.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di TikTok, Naim dilihat berpakaian sekolah tampil profesional mendendangkan lagu Mengenangmu nyanyian Kerispatih.
Persembahan tersebut turut mendapat pelbagai reaksi termasuk penyanyi Iman Troye, Zubir Khan dan Dalia Farhana yang bangga melihat kemunculan semula Naim di pentas nyanyian.
"Bangga dengan abang saya," kata Zubir.
Reaksi Zubir (kiri), Iman dan Dahlia (kanan) semasa menonton persembahan Naim.
Dalam perkongsian video itu juga, Iman dan Dahlia dilihat tidak dapat menahan sebak apabila turut mengalirkan air mata.
Rata-rata netizen terharu melihat ikatan persahabatan mereka yang sentiasa memberikan sokongan meskipun Naim terpalit dengan kontroversi sebelum ini.
"Sebaknya lihat reaksi mereka. Bagus Naim dapat kawan positif seperti mereka.
"Jangan pernah tinggalkan sahabat kita bila mereka ditimpa masalah, walaupun itu kesalahan dia sentiasalah ada bersama tak kira apa jua keadaan," tulis netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Naim Daniel anggap tuduhan lakukan amang seksual berat, komited bersihkan nama
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel mengaku tak bersalah lakukan amang seksual remaja perempuan 17 tahun
Pada 3 Jun lalu, kecoh apabila seorang selebriti ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan mula berkenalan dengan selebriti terbabit di sebuah kafe yang juga tempat kerjanya.
Difahamkan kejadian cabul itu berlaku ketika kali pertama pertemuan antara suspek dan remaja terbabit.
Naim sebelum ini mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap remaja wanita.
Selebriti yang dimaksudnya itu adalah Naim atau Naim Daniel Baharin, 28, dan penyanyi berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Putrajaya pada 17 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum sebat.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 18 Ogos depan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube