suria

Feri karam di Bali: 4 maut, 38 lagi individu masih hilang di tengah laut

38 lagi individu masih hilang selepas sebuah feri karam berhampiran Bali.

EMPAT individu maut, 38 lagi dilaporkan hilang manakala 23 terselamat selepas sebuah feri yang membawa 65 penumpang karam berhampiran pulau Bali, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia pada Khamis.

Feri KMP Tunu Pratama Jaya itu karam hampir setengah jam selepas berlepas dari pelabuhan Banyuwangi di wilayah Jawa Timur menuju ke Bali lewat malam Rabu, kata agensi tersebut.

Menurut agensi itu lagi, feri berkenaan membawa 53 penumpang dan 12 kru, selain memuatkan 22 kenderaan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan namun usaha tersebut terganggu akibat arus dan angin yang kuat, tambah agensi berkenaan.

Feri merupakan salah satu mod pengangkutan utama di Indonesia yang terdiri daripada lebih 17,000 pulau, namun kemalangan sering berlaku berikutan piawaian keselamatan yang longgar termasuk kenderaan yang berlebihan dan kurangnya peralatan menyelamat.

Pada 2023, sebuah feri kecil terbalik berhampiran pulau Sulawesi dan mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang. – Agensi.

Artikel Lain

OSZAR »