PEMBELI barangan jualan daripada peniaga yang mempunyai herpes simplex virus (HSV‑1) berdepan risiko rendah untuk dijangkiti virus itu.
Perkara berkenaan dimaklumkan Public Health Malaysia (PHM) apabila ditanya pengguna Facebook bagi mendapatkan kepastian.
"Jika seseorang menyentuh luka herpes yang berada di permukaan kulit, kemudian dia menyentuh barang jualan, bekas, alatan berniaga sama ada dalam peti sejuk atau pada suhu bilik, adakah virus boleh menular?” soal pengguna Facebook.
"Risiko rendah," jawab PHM.
Isu ini mendapat perhatian warga maya selepas PHM berkongsi satu poster berkaitan gejala herpes dan puncanya di Facebook.
Sementara itu warga maya yang berminat tentang isu berkenaan terus bertanya sama ada virus HSV-1 boleh dijangkiti atau tidak melalui peralatan makanan yang digunakan individu yang dijangkiti virus tersebut.
"Jika individu mempunyai HSV-1 makan di kedai dan dia menggunakan peralatan seperti sudu, garpu dan pinggan.
"Selepas peralatan itu dibasuh, adakah masih ada risiko pelanggan lain dijangkiti jika menggunakan peralatan tersebut?” soal pengikut PHM.
"Tidak," jawab PHM dengan ringkas.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kieda dakwa muka terkena herpes, punca penyakit kelamin suami
PHM juga ditanya sama ada individu yang dijangkiti HSV-1 boleh mengendalikan makanan atau tidak dan risiko jika membeli makanan daripada individu berkenaan.
"Orang yang dijangkiti herpes boleh mengendalikan makanan jika tiada luka terbuka dan mengamalkan kebersihan tangan yang ketat.
"Namun, jika ada luka aktif pada tangan, bibir atau wajah, adalah lebih baik mereka tidak mengendalikan makanan secara langsung sehingga luka sembuh," kata PHM.
Gejala dan punca herpes. -Grafik PHM
PHM dalam pada itu memaklumkan HSV-1 sangat mudah berjangkit, walaupun tiada luka yang nampak dan memberikan punca ia mudah dijangkiti.
"Ciuman kasih sayang, walaupun luka tidak kelihatan; berkongsi gelas, sudu, berus gigi, atau tuala; menggunakan lip balm atau lipstik orang lain.
"Seks oral, walaupun pasangan tidak ada gejala; dan sentuhan tangan ke mulut selepas menyentuh luka orang lain," kata PHM.
Pada Sabtu, usahawan Kieda Crepe sekali mencuri perhatian ramai dengan berkongsi video dia sedang mendapatkan rawatan akibat jangkitan HSV‑1.
Dalam video berdurasi hampir lima minit itu, Kieda bertanya kepada doktor mengenai keadaan dia yang mengalami masalah bintik-bintik kecil dan kebas pada bahagian bibir.
Dengan nada bergurau, Kieda atau nama sebenarnya, Siti Nur Khalieda Yusra mengaitkan punca jangkitan yang dialaminya dengan kebersihan alat sulit suaminya, Hilmi Zaki.