suria

Guru didakwa rotan murid prasekolah tak pandai main bola jaring direman tiga hari

Tular gambar memaparkan kesan rotan pada tubuh salah seorang murid. -Gambar media sosial

GURU wanita yang disyaki merotan dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam satu sesi latihan bola jaring di sebuah sekolah di Kota Kuala Muda, Kedah, Khamis lalu, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan di Kompleks Mahkamah Sungai Petani, pada Ahad. 

Proses reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru ditahan pukul murid 5 tahun kerana tak pandai main bola jaring

mStar pada Sabtu melaporkan dua murid prasekolah berusia lima tahun didakwa mengalami kecederaan akibat dirotan seorang guru hanya kerana mereka dikatakan gagal menguasai teknik permainan bola jaring sebagai persediaan menyertai kejohanan peringkat daerah minggu hadapan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada waris mangsa berhubung kejadian tersebut dan guru yang berkenaan telah ditahan pada Sabtu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 24 saat di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai guru terbabit menangis dan memohon maaf kepada ibu bapa mangsa.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan kaki, dipercayai akibat dirotan ketika sesi latihan sukan di sekolah.

Artikel Lain

OSZAR »