SEORANG individu bernama Dr Azhari Zhahir menulis surat terbuka kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meluahkan harapan agar beliau menjadikan penyanyi dan pelakon Bella Astillah sebagai pendamping hidupnya.
Menurut Azhari, dia menjadi antara saksi kepada pengorbanan dan sokongan tidak berbelah bahagi Bella terhadap Saddiq, bukan sahaja ketika senang, malah saat berdepan detik sukar sepanjang kes perbicaraan.
“Izinkan saya menulis warkah ini bukan sebagai rakyat marhaen semata-mata, tetapi sebagai saksi diam pada sebuah kisah cinta yang kami semua tumpang harap akhirnya bersulam akad.
Syed Saddiq dan Bella ketika mendaki Gunung Kinabalu.
“Awak (Syed Saddiq) pasti tahu, dari mula mula lagi Bella selalu ada, saat dunia politik awak kian menggila, saat mahkamah jadi pentas sabar, saat Gunung Kinabalu hanya satu dari ribuan tangga yang kalian daki berdua, Bella ada.
“Bukan sekadar bayang di belakang lensa kamera, tetapi nafas kedua yang membisikkan yakin, bahawa perjuangan awak bukan sia-sia,” katanya.
Azhari berkongsi luahan tersebut menerusi hantaran di Facebook miliknya pada pagi Sabtu.
Menurut Azhari, sekiranya Syed Saddiq buntu memikirkan masa depan bersama Bella dia sedia membantu dengan segala kepakaran yang dimilikinya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syed Saddiq belum fikir fasa seterusnya dengan Bella Astillah, mahu raikan keluarga dulu
ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq terhutang budi, anggap Bella Astillah wanita hebat… Setia jadi teman di sisi
Malah Azhari menawarkan perkara tersebut dengan percuma kerana berasa ikatan cinta Bella dan Syed Saddiq lebih mahal.
“Tapi jika mata awak masih rasa kabur melihat siapa Bella sebenarnya, saya rela membantu dengan kepakaran saya sebagai seorang doktor.
“Bagi pandangan orang awam, kami melihat berdiri seorang Bella yang hanya mahu awak genggam tangannya sampai ke Jannah.
“Jangan awak bimbang, perkhidmatan yang saya tawarkan adalah percuma kerana cinta kamu berdua lebih mahal daripada segala bil rawatan yang pernah saya tulis,” jelasnya.
Tapi jika mata awak masih rasa kabur melihat siapa Bella sebenarnya, saya rela membantu dengan kepakaran saya sebagai seorang doktor.
DR AZHARI ZHAHIR
Bagaimanapun, jika Syed Saddiq mengecewakan Bella, kata Azhari dia sendiri akan membalas dendam sebagai wakil orang ramai yang kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Muar itu.
“Jika akhirnya awak memilih untuk mengecewakan Bella, membiarkan dia berdiri terlalu lama menanti akad yang tak kunjung tiba, maka dengan rendah hati tapi tekad membara, saya sendiri akan bertanding di Parlimen Muar.
“Bukan sekadar mahu menguburkan karier politik awak tetapi agar saya sendiri dapat membela nasib Bella dengan cara paling ‘gentleman’ seorang rakyat biasa boleh lakukan. Pasti, Akan saya ajak seluruh rakyat Sabah, pindah mengundi di Muar, semata-mata untuk jatuhkan awak.
Bella sentiasa memberi sokongan buat Syed Saddiq.
“Syed Saddiq, pulanglah kepada rasa yang paling jujur. Ajaklah Bella berdiri di sebelah, bukan sekadar dalam gambar, tetapi pada satu akad yang menggema, hingga kami rakyat yang hanya diam di barisan belakang bisa menadah tangan bersama mendoakan bahagia,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan serta pendapat Azhari yang mengharapkan Syed Saddiq dan Bella dapat disatukan akhirnya.
Malah ada yang menggugut mahu membuat laporan polis dan memfailkan saman terhadap Syed Saddiq jika mengecewakan Bella.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube